24 January 2016

Another Reminder

Another reminder about death. My atuk saudara passed away this morning. Bangun-bangun subuh, ibu masuk bilik bagitahu,

“Tok Cu meninggal, ayong. Tok Din telefon tadi.”

Innalillahi wa inna ilaihi raaji’uun.

Dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah kita kembali.

Masih saya ingat, ketika Hari Raya Aidiladha tahun lepas, kami melawat Tok Cu. Ketika itu, tangan kanannya tak boleh diangkat. Kita nak salam, kena tunduk kepala betul-betul pada tangan dia. Tak berdaya dia. Kalau boleh, sepanjang masa mahu diurut belakangnya, sakit seperti nak habis nyawa diulang-ulang. Yang melihat pun sakit, apatah dia yang merasa. Sebak.

Tak henti dia bercerita mengenai hidupnya. Tentang sakitnya. Masih saya ingat, dia pesan lebih kurang begini yang saya ingat,

“semua sakit ni dari Allah. Bukan dari benda-benda lain. Semua sakit ada sembuh dia, macam yang Nabi Ibrahim sebut dalam surah asy-Syu’ara, kecuali mati”

Allahuakbar. Dalam sakitnya, tetap ingat al-Qur’an. Ada sesetengah orang yang apa bila sakit, habis dilupa segala. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang sedemikian. Beberapa kali dia mengurut dada, seperti tak cukup nafas. Ada hari-hari yang tak boleh nak tidur katanya. Sakit. Tak larat. Allahu Allah. Sebak bila teringat.

Dia bercerita perihal anak-anaknya. Habis diluah semua. Biasalah, ibu bapa kita paling sedikit pasti ada yang terasa hati dengan anak-anak. Biarkan saja dia meluah semua, entah sampai bila kita bakal dengar suara dia. Nanti kalau sudah tiada, bagaimana? Mesti rindu.

Jenazah masih di Kuala Lumpur, bakal dibawa pulang dan dikebumikan di sini. Mungkin berhampiran pusara isterinya yang telah “pergi” pada 2 tahun lepas.

Semoga Allah menempatkan Tok Cu di kalangan orang beriman. Moga-moga saya pun mampu berjuang demi Islam dan menyebar dakwah seperti Tok Cu walaupun sedang sakit. Semoga dengan kematian ini, akan menghidupkan hati-hati kami yang mati. Tok Cu dah tak sakit dah kan? Allah dah bagi rehat...






Al-Fatihah.



1 comment:

O'gosh Iskandar said...

Al fatihah.....Kuatkan semangat dan tabah menghadapi dugaan ye dik....